Sunday, September 5, 2010

Mengenali Pasukan Polis Elit

Pasukan Gerakan Khas (PGK) merupakan satu pasukan khas anti keganasan berprofil tinggi dan pasukan operasi khusus Polis Diraja Malaysia gabungan Batalion Komando 69 dan Unit Tindakan Khas. Pasukan berberet merah hati atau maroon dan Kelabu Pasir ini dilatih khas untuk menangani segala bentuk ancaman keganasan dan jenayah berat di Malaysia.

Ditubuhkan khas sebagai pasukan elit yang mempunyai kemampuan menangani pelbagai serangan pengganas dan jenayah bermula dari ancaman rompakan bersenjata hingga operasi menyelamat. Keanggotaan bagi unit khas ini adalah rahsia dikatakan beroperasi secara efektif pada bulan Oktober 1997 dan terdiri daripada bahagian siasatan khas, unit operasi sistem C4-I, kepakaran letupan khas (misalnya unit pemusnah bom), dan unit penggempur yang terdiri daripada unit penembak tepat, pasukan selam tempur dan pasukan payung terjun (kedua - duanya bagi Batalion 69 Komando). Sebagai pasukan operasi khusus, setiap pegawai dan anggota PGK ini memiliki kemampuan operasi di tiga persekitaran, iaitu di darat, laut, dan udara.

Identiti

Beret Merun
Melambangkan identiti Pasukan Gerakan Khas A atau Unit Tindakan Khas.
Beret Kelabu Pasir
Melambangkan identiti Pasukan Gerakan Khas B atau Komando 69.
Trimedia Sayap Payung Terjun
Merupakan lambang rasmi yang dipakai oleh pasukan elit PDRM ini. Dan juga kemampuannya dalam pengoperasian unit payung terjun pasukan ini dan penyusupan komando melalui udara.
Ketiga-tiganya dianugerahkan oleh United Kingdom Special Air Service, kerana unit inilah yang menjadi perintis utama penubuhan dua buah pasukan elit PDRM ini.

Peranan Pasukan Gerakan Khas

Pengumpulan risikan khas dalam misi pengintipan dan tugas menggempur.
Melibatkan diri dalam operasi khas membantu Cawangan Khas PDRM dalam memerangi organisasi subversif atau kegiatan pengganas.
Operasi menangani-keganasan didalam negara bersama dengan angkatan tentera.
Penguatkuasaan undang-undang dalam tugas menangani pelbagai jenayah bersenjata didalam negara.
Operasi menangani-keganasan diluar negara Malaysia, misalnya Operasi Astute di Timor Leste.
Tugas mencari dan menyelamat didalam dan luar Malaysia, contohnya insiden tsunami di Acheh, Indonesia.
Tugas kawalan rapat ke atas Yang DiPertuan Agung, raja-raja diseluruh Malaysia, menteri dan orang-orang kenamaan serta diplomat.
Tugas-tugas lain yang difikirkan sesuai setelah mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara atau Timbalan Ketua Polis Negara.

Organisasi

Pada 20 hb Oktober 1997, pasukan Komando 69 dan Unit Tindakan Khas digabungkan dalam satu unit dikenali sebagai Pasukan Gerakan Khas. Unit ini dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri (B) Rahim Noor. Namun, nama Pasukan Gerakan Khas ini dikekalkan dan kedua-dua unit ini dipisahkan semula dan diberikan gelaran baru. Unit Tindakan Khas digelar sebagai Pasukan Gerakan Khas A dan Pasukan Gerakan Khas B merupakan gelaran kepada Komando 69.

Berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Unit B PGK diletakkan dibawah tanggungjawab Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri / Ketenteraman Awam yang dipertanggungjawabkan terhadap tugas dan fungsi-fungsi PGK kepada KPN. Ia dipimpin oleh seorang Komander berpangkat Senior Assisten Commissioner II dan juga merangkap Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan Dalam Negeri / Ketenteraman Awam (KDN/KA).

Berikutan meningkatnya beberapa siri insiden keganasan di pasca serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, unit ini dipertingkatkan kepada penugasan anti keganasan bagi mengelakkan negara yang berdaulat ini dipengaruhi oleh sebarang agenda pengganas walau seinci sekalipun. Bagi memastikan sebarang operasi (khasnya operasi anti-pengganas) berjaya, keanggotaan PGK yang mana 1 platun berkekuatan 6 hingga 10 anggota dan diketuai oleh pegawai berpangkat sekurang-kurangnya Inspektor hingga Superintendant terdiri daripada ahli raifal atau anggota CQB, pakar bahan letupan, komunikasi dan paramedik. Selain itu, unit ini turut bekerjasama dengan pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia seperti 10 PARA, Grup Gerak Khas, PASKAL dan PASKAU bagi menjaga keselamatan dan keamanan Malaysia.

Operasi, Perintah dan Kawalan

Komander PGK bertanggungjawab dalam sebarang operasi yang dijalankan. Kerjasama dan bantuan boleh diperolehi dari Ketua Polis Negeri di mana sebarang operasi tersebut dijalankan. Komander PGK juga bertanggungjawab terhadap pendekatan yang diambil dalam melaksanakan tugas.

Peranan

Anggota polis anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas PDRM semasa serbuan di dalam kokpit pesawat. Perhatikan pistol Glock 17 yang menjadi senjata utama pasukan elit Polis Diraja Malaysia ini.UTK yang beroperasi seperti unit SWAT Amerika Syarikat ini menjalani operasi dengan tanpa pakaian seragam unit khas. Unit ini biasanya menjalankan operasi mengekang kegiatan jenayah bersenjata di pekan dan bandar. Manakala Komando 69 yang asalnya merupakan batalion elit bagi Pasukan Polis Hutan (PPH) (kini Pasukan Gerakan Am) menjalankan operasi dihutan bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk membanteras segala ancaman pengganas komunis pada tahun 1969 hingga berakhirnya tempoh insurgensi pada tahun 1989 (20 tahun). Dilatih khusus oleh Special Air Service United Kingdom, perwira Komando 69 kini menjalani latihan pelbagai tempur dan misi pengintipan khas.

Pasukan penembak tepat dan pakar bahan letupan unit ini pernah mendapat latihan khas dari beberapa pasukan elit negara asing termasuklah Special Air Service (Australia, New Zealand dan United Kingdom), Pasukan Peronda Sempadan Polis Diraja Thailand dan beberapa unit-unit elit Amerika Syarikat seperti US Navy SEALs, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Special Weapon and Tactics (SWAT) serta pasukan elit yang lain. UTK diberi beret maroon dan Komando 69 dianugerahkan beret kelabu Pasir, iaitu beret kebanggaan yang dianugerahkan oleh pasukan ke 22 SAS.

Pada 14 November 2006, adalah menjadi sejarah pertama buat Pasukan Gerakan Khas apabila kedua-dua beret kebanggaan unit ini dianugerahkan sebagai Beret Diraja setelah dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail di Perbarisan Diraja yang bertempat di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, Kuala Lumpur sempena persaraan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong.