Undang-undang dalam politik dan perundangan, merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesuatu negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah/polis. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain. Kadangkala, undang-undang juga dibuat oleh sekumpulan orang yang berfikiran sama.
Undang-undang secara lazimnya ditadbir oleh suatu sistem mahkamah dimana hakim (kadangkala dengan bantuan juri atau lay magistrate) mendengar pertikaian diantara pihak, dan mengaplikasi satu set peraturan untuk memastikan satu keputusan yang adil. Cara dimana undang-undang ditadbir dipanggil sistem perundangan, yang lazimnya berkembang mengikut adat-adat sendiri sesebuah negara.
Kebanyakan negara mengharapkan polis untuk menguatkuasakan undang-undang. Pegawai polis lazimnya harus terlatih dalam penguatkuasaan undang-undang sebelum mereka dibenarkan melakukan sesuatu dibawah warna undang-undang, untuk mengeluarkan amaran berbentuk undang-undang dan petikan, untuk mengarahkan satu pencarian atau apa-apa lagi waran membuat penangkapan.
Pengamal undang-undang lazimnya mesti mendapat latihan secara professional dalam undang-undang sebelum mereka dibenarkan mewakili satu pihak dalam satu mahkamah undang-undang, merangka dokumen undang-undang, atau memberi bantuan guaman.
Sistem perundangan sivil
Sistem perundangan sivil adalah undang-undang berkod yang mengunakan satu sistem peraturan komprehensif yang diaplikasi dan ditafsir oleh para hakim. Ia merupakan sistem perundangan yang paling meluas pengamalannya di seluruh dunia dengan 60% daripada penduduk dunia menduduki negara yang ditadbir oleh sistem perundangan sivil.
Apabila undang-undang sivil dirujuk sebagai sistem perundangan, maka konsepnya perlulah dibezakan dengan istilah undang-undang sivil (yang merujuk kepada jenis undang-undang)di dalam sesebuah negara.Sistem perundangan sivil adalah merujuk kepada sistem perundangan yang berasal daripada sistem perundangan Roman. Sistem perundangan ini diamalkan di kebanyakan negara Eropah. Manakala istilah undang-undang sivil (yang bukan merujuk kepada sistem) adalah merupakan undang-undang yang mengawal kegiatan sivil sesebuah masyarakat seperti undang-undang kontrak, undang-undang tanah dan sebagainya. Selalunya undang-undang yang mengawal kegiatan sivil sesebuah masyarakat dibezakan dengan undang-undang jenayah.
Pembezaan paling ketara sistem perundangan sivil dengan common law adalah bahawa secara lazimnya, hanya enakmen legislatif adalah mengikat dari segi undang-undang, tetapi bukan kes-kes duluan, kecualilah satu perkara yang serupa telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih agung. Tetapi sebagai satu pengamalan yang praktikal, mahkamah-mahkamah biasanya mengikut keputusan mereka yang lalu. Tambahan pula, dalam sesetengah sistem perundangan sivil (sebagai contoh di Jerman), tulisan para cendakiawan undang-undang mempunyai pengaruh yang kuat keatas mahkamah-mahkamah.
Dalam kebanyakan bidang kuasa pusat undang-undang khusus adalah kodifikasi dalam bentuk kod sivil, tetapi di sesetengah bidang seperti di Scotland, mereka tidak pula dikodifikasikan. Sistem perundangan sivil sebagaimana dinotakan diatas mempunyai asas dalam undang-undang Rom, yang diamalkan oleh para cendakiawan dan mahkamah daripada zaman pertengahan Eropah. Kebanyakan sistem moden kini berbalik kepada gerakan kodifikasi abad ke-19. Kod sivil ramai negara, terutama bekas jajahan Perancis dan Sepanyol menyerupai Code Napoléon dalam sesetengah hal tetapi tidak untuk kawasan Eropah timur, Eropah tengah, Scandinavia dan negara-negara Asia timur. Dinotakan juga bahawa BGB Jerman diolah daripada undang-undang Rom dan tradisi perundangan Jerman sendiri, dan adalah satu pengaruh kepada kod sivil dalam negara lain.
Kepentingan Code Napoléon tidaklah boleh diperbesarkan kerana ia hanya merangkumi sesetengah cabang undang-undang khusus, dimana kod-kod lain pula mentadbir undang-undang koperat, undang-undang cukai dan undang-undang perlembagaan.
Sistem perundangan adat
Rencana utama: Undang-undang adat istiadat
Undang-undang adat istiadat adalah sistem perundangan yang telah berkembang mengikut acuannya sendiri dalam sesebuah negara dan telah diadaptasikan mengikut keperluan satu budaya. Notakan juga bahawa undang-undang adat juga boleh relevan dalam bidang kuasa mengikut tradisi perundangan lain dalam bidang atau sesuatu bidang perundangan dimana tiada enakmen legislatif yang wujud. Sebagai contoh, di Austria, para cendakiawan undang-undang khusus sering berkata bahawa undang-undang adat terus wujud, manakala cendakiawan undang-undang umum mempertikaikan dakwaan ini. Walau bagaimanapun, mencari contoh yang relaven dari segi praktikal adalah susah.
Sistem perundangan agama
Ramai negara mendasarkan sistem perundangan mereka yang berkait agama keatas kawalan agama itu sendiri, sebagai contoh ajaran dalam Mitzvah yang didasarkan agama Yahudi. Sistem yang paling dominan yang berbentuk begini adalah Syariah atau undang-undang Islam. Pada hari ini, undang-undang ini hidup dalam bentuk yang paling tulen hanyalah di Arab Saudi akan tetapi negara-negara Islam lainnya juga mengamalkan ia dengan campuran sistem perundangan lain, sebagai contoh Malaysia mengaplikasi sesetengahnya dalam perihal seperti perceraian dan pembahagian harta.
Halakha atau undang-undang Yahudi diikuti pengikut orthodoks dan pengikut konservatif Yahudi (dalam bentuk berbeza mengikut mazhab) dengan berkait kedua-dua segi agama disamping segi sivil. Akan tetapi berbeza dengan Syariah, tiada negara di dunia kini yang mengamalkan undang-undang Halakha dengan sepenuhnya, termasuklah Israel sendiri.
Pada peringkat yang lebih kecil, masih ada kawasan di dunia ini yang mengamalkan undang-undang kanun yang diikuti penganut Katolik serta Anglican dan satu sistem perundangan yang serupa diamalkan oleh Gereja Orthodoks Timur. Tetapi, undang-undang kanun Kristian hari ini berkait dengan agama sahaja, tidak seperti Syariah yang merangkumi segala aspek kehidupan seperti harta, kontrak, hubungan perdagangan dan perlindungan ganti rugi) serta undang-undang pentadbiran.
Sistem perundangan Sosialis
Sistem perundangan Sosialis (kadangkala dirujuk sebagai sistem perundangan Komunis) pula telah diamalkan di kebanyakan negara-negara komunis seperti bekas Kesatuan Republik Sosialis Soviet dan China akan tetapi sama seperti ideologinya semakin pudar dan lenyap ketulenannya. Kedua negara yang disebut ini kini lebih cenderung kepada perundangan sivil seperti kebanyakan negara lain.